MUNGKIN sesetengah pihak menganggap isu pendidikan di kalangan Orang Asli tidak ada kena mengena dengan kehidupan mereka kerana tidak dilahirkan daripada salah satu suku kaum berkenaan atau mempunyai hubung kait dengan masyarakat pribumi itu.
Namun tanpa disedari kaum majoriti seperti Melayu, Cina dan India di negara ini sedikit sebanyak menyumbang kepada faktor keciciran pendidikan di kalangan Orang Asli walaupun ia hanya membabitkan kes terpencil serta sering dianggap perkara lapuk serta remeh oleh segelintir pihak.
Kebanyakan liputan yang dibuat sebelum ini mengambil kira mengenai usaha yang sudah dilakukan beberapa pihak dalam usaha membantu pelajar Orang Asli keluar daripada belenggu keciciran dan kemiskinan, namun apa diperlukan masyarakat itu serta pendapat mereka jarang didengari.
Sejauh mana masyarakat Malaysia mengambil tahu tentang perihal Orang Asli? Mungkin terlalu kecil bilangan mereka yang arif mengenai kumpulan pribumi itu dan kebanyakannya masih dengan pelbagai pandangan skeptikal yang tidak perlu dinyatakan lagi.
Justeru, persepsi negatif terhadap Orang Asli perlu diubah supaya mereka tidak rasa terpinggir seterusnya mempunyai keyakinan untuk memasang cita-cita yang lebih baik dan ia bermula dengan kesedaran terhadap pentingnya pendidikan sejak kecil.
Pengarah Pusat Pengajian Pribumi Malaysia, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Juli Edo, berkata tiada alasan kukuh ditemui penyelidik mengapa kanak-kanak Orang Asli malas ke sekolah.
“Antaranya majoriti mereka berasa terkurung apabila tinggal di asrama kerana terpisah daripada persekitaran, ibu bapa, rakan dan terpengaruh dengan cerita orang terdahulu yang pernah ke sekolah.
Katanya, laporan pengkaji terdahulu, Hassan Mat Nor menyatakan, mereka malas, namun perkataan malas diterjemah dalam bahasa suku Semai sebagai ‘Segat’ bukan bermaksud malas saja tetapi segan atau mengelak untuk sesuatu perkara atau tidak mahu memanjangkan cerita.
Statistik Jabatan Hal Ehwal Orang Asli yang dibentang Ahli Dewan Negara, Senator Osman Bongsu kepada Berita Harian, baru-baru ini menunjukkan bilangan pelajar Orang Asli yang tamat tahun enam dan menyambung pelajaran ke tingkatan satu menunjukkan pengurangan sejak 2001.
Misalnya pada 2007, jumlah yang menamatkan pengajian tahun enam 4,266, tetapi hanya 2,726 mendaftar ke tingkatan satu, menurut 1,540 berbanding tahun sebelumnya.
Lebih membimbangkan hanya 941 daripada 2.075 pelajar pada 2000 berjaya menamatkan pengajian di tingkatan lima, manakala pada 2004 jumlah keciciran mencatat 54.65 peratus.
Bagaimanapun katanya, di peringkat pengajian tinggi, jumlah pelajar Orang Asli meningkat daripada 46 tahun lalu kepada 97 pada 2008.
Osman berkata, jumlah itu masih terlalu kecil jika dibandingkan dengan yang keciciran dalam pelajaran.
Keciciran pelajaran kini tidak dapat dipisahkan dengan ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi seperti dinyatakan Prof Emeritus Datuk Dr Hood Salleh dalam bukunya bertajuk Dunia Peribumi dan Alam Sekitar: Langkah Ke Hadapan.
Pengetahuan terhadap pengetahuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang juga sebahagian daripada sains dan teknologi di mana Orang Asli juga perlu sama-sama memajukan diri seterusnya bersaing menguasai bidang itu.
Namun, kajian ICT terhadap Orang Asli di Desa Temuan, pusat bandar Bukit Lanjan yang dijalankan Pensyarah Kanan Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Dr Sarjit Singh Gill bersama pembantu penyelidiknya, Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail baru-baru ini mendapati jurang digital yang besar di situ dengan masyarakat tempat lain.
Dr Sarjit berkata, pembabitan belia Orang Asli dalam penggunaan ICT masih belum meluas kerana mereka tidak begitu memerlukan ICT dalam pekerjaan, bagaimanapun mempunyai minat untuk belajar jika diberi peluang kerana infrastruktur sudah disediakan di sana.
// Chegu amat bersetuju dengan artikel ini. Kebanyakan masyarakat asli bukan sahaja ketinggalan dari segi pelajaran malah dari segi ‘mindset’ atau pemikiran mereka. Sepanjang pengalaman chegu mengajar di Lenjang selama setahun, rata2 masyakat di sini masih lagi mengamalkan amalan tradisi spt memungut hasil hutan, menangkap ikan, menanam padi bukit dan berburu. Amalan tradisi ini adalah nadi kehidupan mereka seharian. Pun begitu, apa yg chegu nampak, kebanyakan ibubapa masyarakat asli kurang memberi sokongan atau galakan kepada anak2 mereka untuk belajar. Mereka lebih mementingkan aktiviti harian daripada pendidikan anak2. Seblknya, tugas tersebutlah digalas oleh guru2 untk memastikan anak2 mereka mendpt pelajaran yang sempurna sepertimana di luar. Semoga akan ada perubahan dalam kehidupan masyarakat ini suatu hari nanti.InsyaAllah.